Friday, January 11, 2008

REMAJA PEWARIS.....

Asssalamualaikum wbt

INGAT atau manfaatkanlah masa MUDAmu sebelum datangnya masa tuamu.

Teringat pesan Rasulullah SAW kepada umat agar menghargai masa muda sebelum tibanya masa tua. Semasa mudalah kita mudah menerima ilmu , mudah menerima teguran dan mudah memberikan sumbangan tenaga , masa mahupun kesihatan untuk pelbagai perkara yang tidak mampu dilakukan ketika tua yang sudah barangkali badan kita semakin lemah. Namun sejauh manakah peranan remaja hari ini mencorak perubahan dan kegemilangan Islam pada masa hadapan? Ingatlah semua...remaja merupakan PEWARIS , pencatur tamadun pada masa hadapan. .

Alhamdulillah , wujudnya blog PEWARIS-Serdang ni adalah antara lain bermatlamat untuk memacu perjuangan remaja , bersama-sama bersatu ke arah melahirkan belia yang cintakan Islam dan mengamalkan ajaran Islam dalam diri setiap individu . InsyaAllah

Jika direnung dan diimbas kembali , sirah membuktikan banyak peranan remaja dalam menegakkan kegemilangan Islam. Sedar tidak sedar cuba kita imbas kembali persoalan berikut :-

Siapakah yang digelar al-amin ?

Siapakah yang diberi kepercayaan oleh kawan mahupun lawan di Mekah pada zaman hidupnya baginda Rasulullah SAW?

Siapakah yang mengantikan tempat Rasulullah SAW ketika baginda berhijrah?

Siapakah yang menjadi benteng kepada Rasulullah SAW ketika dalam peperangan?

Siapakah yang menyediakan rumah bagi umat Islam berkumpul untuk berusrah pada waktu awal penyebaran Islam?

Siapakah yang menewaskan empayar Parsi dan Rom?

Ya!!! Kita dengar nama-nama besar seperti Saidina Ali Bin Abi Talib, Zubair bin al A’wam ra, Talhah bin Ubaidullah ra, Saad bin Abi Waqas ra, al Arqam bin Abi Arqam al Makhzumi, Ammar bin Yaaser ,Thariq Bin Ziyad ,Siti Khadijah binti Khuwailid, Siti Aisyah binti Abu Bakar, Fatimah, Sumaiyah dan ramai lagi yang menjadi teras dalam perjuangan di peringkat awal dakwah Rasulullah SAW

Remaja sebiginilah yang gagah berani, hidupnya semata-mata hanya bagi kejayaan dan kemuliaan Islam dan remaja seperti itulah yang sanggup memikul beban da'wah dan bersedia berkorban menghadapi berbagai ujian dan siksaan dengan penuh kesabaran. Mereka mendapat kebaikan, keampunan dari Allah dan syurga yang tak terkira nikmatnya. Mereka itulah yang disebut sebagai orang-orang muflih (beruntung).

"Tetapi Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, mereka berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan mereka itulah orang-orang yang memperolehi bermacam-macam kebaikan dan mereka itulah orang-orang yang beruntung" – Surah At Taubah , Ayat 88-

Memang mereka semua pahlawan-pahlawan yang agung dalam usia remaja. Mereka mempunyai kedudukan yang tinggi dalam sejarah umat Islam dari segi aspek pengetahuan, kesungguhan, keimanan, akhlak dan amal. Mereka inilah remaja yang memeluk Islam dan bersama-sama baginda menegakkan Islam

Tahukah kita? mereka ada yang baru berumur 15 tahun , 16 tahun dan 17 tahun ketika memeluk Islam!!!

Tahukah kita? mereka mendapat pelbagai tentangan dari keluarga dan masyarakat ketika menegakkan Islam!!!

Tahukah kita? mereka sanggup berkorban nyawa , masa , tenaga semuanya demi Islam!!!

Tahukah kita? amalan dan pengorbanan mereka inilah yang menyebabkan Islam sampai ke bumi Malaysia pada hari ini , semuanya dengan izin Allah SWT...

Sepatutnya remaja hari ini bangga dengan adanya mereka sebagai qudwah atau ikutan.

Cuba kita bayangkan apakah remaja hari ini mampu menjadi seperti mereka ?

Hedonisme, pengaruh rakan sebaya , pengaruh media dan program realiti tv sudah cukup mencorak kehidupan remaja pada hari ini. Kita lihat ramai anak muda yang begitu mudah mengingati nama artis berbanding nama para sahabat nabi. Kita lihat ramai remaja yang mengikuti perkembangan Akademi Fantasia berbanding Akademi Al-Quran. Kita lihat juga ramai remaja yang suka membuang masa di pusat-pusat siber dan pusat-pusat hiburan berbanding mereka yang mengimarahkan majlis-majlis ilmu dan program-program agama. Renungkanlah …..Adakah kita dalam golongan itu???

Alangkah sejuknya hati andai para remaja kita terutama lelaki menjadikan Thariq bin Ziyad sebagai idola mereka lalu mencontohi peribadi pejuang Islam itu. Cekal, tabah, berani, berwawasan, taat perintah Allah, tahan gugat menempuh cabaran, optimis dan lain-lain lagi sifat-sifat mulia ditiru serta diamalkan dalam hidup seharian. Remaja perempuan pula menjadikan Saidatina Khadijah atau Aisyah sebagai idola. Contohi dan teladani sifat-sifat dan peribadi wanita solehah itu dalam menegakkan syiar Islam bersama Rasulullah s.a.w. Jika ini dilakukan para remaja, nescaya akan wujud insan-insan generasi alaf baru punya peribadi yang selari dengan kehendak agama, bangsa dan negara. Remaja harus bijak mengendalikan program hidup di samping selalu memohon kepada Allah melalui doa atau sembahyang supaya ditunjukkan jalan yang benar dan lurus, jauh dari terpesong menyusur jalan yang dibentang musuh Islam.

Maka, mudah-mudahan dengan wujudnya Kelab PEWARIS-Serdang dan Blog ini dapat menjadi satu wacana atau wadah dalam mencorak remaja kita pada hari ini ke arah mewujudkan remaja yang menitikberatkan kejayaan dunia lebih-lebih lagi akhirat berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah . InsyaAllah

No comments: