Friday, January 25, 2008

Usrah Remaja pertama 2008

Alhamdulillah , seramai 36 orang peserta muslimin dan 20 orang peserta muslimat telah menyertai program USRAH Remaja PEWARIS yang buat pertama kalinya diadakan bagi tahun 2008. Bermula pada pukul 9:30 tengah malam setelah berlangsung selama 2 jam dengan bantuan para AJK SURAU dan PEWARIS akhirnya program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Program yang dimulai dengan slot ceramah disampaikan oleh Ustaz Ishak Ahmad ini banyak menekankan kepentingan usaha dan kesungguhan dalam mencapai matlamat atau cita-cita dalam diri para peserta. Tajuk yang dipilih pada usrah kali ini ialah “Menggapai Awan”


Remaja punya cita-cita yang menggunung tinggi . Begitu jelas, jauh di sudut hati mereka ada cita-cita dan matlamat yang begitu mereka idamkan . Peserta yang terdiri dari kalangan mereka yang masih bersekolah rendah hinggalah yang ke tingkatan 5 mempunyai cita-cita yang pelbagai. Cita-cita untuk menjadi pensyarah , ahli perniagaan , juruterbang, arkitek , saintis, peguam mahupun jurutera begitu tebal dalam diri masing-masing. Di sinilah peranan para fasilitator menjelaskan akan pentingnya langkah awal dalam memilih aliran atau subjek-subjek berkaitan dengan cita-cita mereka . Berfikiran kreatif , mahir ilmu sains , pandai berhujah , bijak menyusun idea, yakin pada diri, mengusai
kepelbagaian bidang ilmu dan bermacam-macam usaha perlu bagi memburu impian para peserta. Alhamdulillah jika semua ini diringi dengan keyakinan dan ketakwaan kepada Allah SWT maka sudah pastinya Allah membuka jalan memudahkannya. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama-sama hambaNya.

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,(Surah Al-Insyirah, Ayat 5)

Sepanjang progam berlangsung, sebanyak 3 modul dapat dilaksanakan dalam waktu yang terbatas. Antara salah satu modul adalah bertujuan untuk menekankan pra-pentingnya USAHA untuk mencapai satu matlamat. Penganjur meletakkan sebiji botol di hadapan para peserta sambil bertanya “Bagaimana hendak menjatuhkan botol tersebut ?”. Walaupun ada kedengaran suara-suara kecil agar botol itu ‘ditolak dengan tangan’ dan ‘dijatuhkan dengan tangan’ namun tidak ramai yang mengambil TINDAKAN untuk pergi menjatuhkan botol itu dengan PERBUATAN. Hanya setelah beberapa ketika barulah ada seorang peserta muslimat yang tampil menolak botol tersebut. Di sinilah pentingnya usaha atau tindakan dalam gerak kerja untuk mencapai matlamat. Ingatlah kita dengan firman Allah : Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, sebelum kaum itu berjuang keras untuk mengubah nasibnya sendiri” (Surah ar-Raad ayat 11).


Syukur sekali lagi ketika mana ada remaja yang mungkin sedang seronok menonton rancangan hiburan di televisyen , tetapi terdapat sekurang-kurangnya 56 orang remaja di Bandar Tun Hussien Onn berkumpul bersama-sama menghadiri majlis ilmu pada hari ini. Dari riak wajah mereka seakan nampak raut muka bakal PEWARIS pimpinan negara suatu hari nanti . Kata-kata AJK Surau " Buatlah program seperti ini lagi" cukup menujukkan program seperti ini perlu kesinambungan. Para pesertalah yang akan mencorak bangsa , mengenggam agama dan memasyarakatkan belia di muka bumi ini kini dan pada masa akan datang.

Monday, January 21, 2008


USRAH REMAJA

TARIKH:

25 JANUARI 2008

( JUMAAT MALAM SABTU )

TEMPAT:

PASTI BANDAR TUN HUSSIEN ONN,

CHERAS,

SELANGOR DARUL EHSAN.

MASA:

8.00 MALAM – 10.00 MALAM

TAJUK:

"MENCAPAI AWAN"

SEMUA PELAJAR SEKOLAH RENDAH DAN MENENGAH DIJEMPUT HADIR

MAKANAN DISEDIAKAN & TIADA BAYARAN DIKENAKAN

ANJURAN:

NISA` SERDANG, KELAB PEWARIS, PAKSI

Friday, January 11, 2008

REMAJA PEWARIS.....

Asssalamualaikum wbt

INGAT atau manfaatkanlah masa MUDAmu sebelum datangnya masa tuamu.

Teringat pesan Rasulullah SAW kepada umat agar menghargai masa muda sebelum tibanya masa tua. Semasa mudalah kita mudah menerima ilmu , mudah menerima teguran dan mudah memberikan sumbangan tenaga , masa mahupun kesihatan untuk pelbagai perkara yang tidak mampu dilakukan ketika tua yang sudah barangkali badan kita semakin lemah. Namun sejauh manakah peranan remaja hari ini mencorak perubahan dan kegemilangan Islam pada masa hadapan? Ingatlah semua...remaja merupakan PEWARIS , pencatur tamadun pada masa hadapan. .

Alhamdulillah , wujudnya blog PEWARIS-Serdang ni adalah antara lain bermatlamat untuk memacu perjuangan remaja , bersama-sama bersatu ke arah melahirkan belia yang cintakan Islam dan mengamalkan ajaran Islam dalam diri setiap individu . InsyaAllah

Jika direnung dan diimbas kembali , sirah membuktikan banyak peranan remaja dalam menegakkan kegemilangan Islam. Sedar tidak sedar cuba kita imbas kembali persoalan berikut :-

Siapakah yang digelar al-amin ?

Siapakah yang diberi kepercayaan oleh kawan mahupun lawan di Mekah pada zaman hidupnya baginda Rasulullah SAW?

Siapakah yang mengantikan tempat Rasulullah SAW ketika baginda berhijrah?

Siapakah yang menjadi benteng kepada Rasulullah SAW ketika dalam peperangan?

Siapakah yang menyediakan rumah bagi umat Islam berkumpul untuk berusrah pada waktu awal penyebaran Islam?

Siapakah yang menewaskan empayar Parsi dan Rom?

Ya!!! Kita dengar nama-nama besar seperti Saidina Ali Bin Abi Talib, Zubair bin al A’wam ra, Talhah bin Ubaidullah ra, Saad bin Abi Waqas ra, al Arqam bin Abi Arqam al Makhzumi, Ammar bin Yaaser ,Thariq Bin Ziyad ,Siti Khadijah binti Khuwailid, Siti Aisyah binti Abu Bakar, Fatimah, Sumaiyah dan ramai lagi yang menjadi teras dalam perjuangan di peringkat awal dakwah Rasulullah SAW

Remaja sebiginilah yang gagah berani, hidupnya semata-mata hanya bagi kejayaan dan kemuliaan Islam dan remaja seperti itulah yang sanggup memikul beban da'wah dan bersedia berkorban menghadapi berbagai ujian dan siksaan dengan penuh kesabaran. Mereka mendapat kebaikan, keampunan dari Allah dan syurga yang tak terkira nikmatnya. Mereka itulah yang disebut sebagai orang-orang muflih (beruntung).

"Tetapi Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, mereka berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan mereka itulah orang-orang yang memperolehi bermacam-macam kebaikan dan mereka itulah orang-orang yang beruntung" – Surah At Taubah , Ayat 88-

Memang mereka semua pahlawan-pahlawan yang agung dalam usia remaja. Mereka mempunyai kedudukan yang tinggi dalam sejarah umat Islam dari segi aspek pengetahuan, kesungguhan, keimanan, akhlak dan amal. Mereka inilah remaja yang memeluk Islam dan bersama-sama baginda menegakkan Islam

Tahukah kita? mereka ada yang baru berumur 15 tahun , 16 tahun dan 17 tahun ketika memeluk Islam!!!

Tahukah kita? mereka mendapat pelbagai tentangan dari keluarga dan masyarakat ketika menegakkan Islam!!!

Tahukah kita? mereka sanggup berkorban nyawa , masa , tenaga semuanya demi Islam!!!

Tahukah kita? amalan dan pengorbanan mereka inilah yang menyebabkan Islam sampai ke bumi Malaysia pada hari ini , semuanya dengan izin Allah SWT...

Sepatutnya remaja hari ini bangga dengan adanya mereka sebagai qudwah atau ikutan.

Cuba kita bayangkan apakah remaja hari ini mampu menjadi seperti mereka ?

Hedonisme, pengaruh rakan sebaya , pengaruh media dan program realiti tv sudah cukup mencorak kehidupan remaja pada hari ini. Kita lihat ramai anak muda yang begitu mudah mengingati nama artis berbanding nama para sahabat nabi. Kita lihat ramai remaja yang mengikuti perkembangan Akademi Fantasia berbanding Akademi Al-Quran. Kita lihat juga ramai remaja yang suka membuang masa di pusat-pusat siber dan pusat-pusat hiburan berbanding mereka yang mengimarahkan majlis-majlis ilmu dan program-program agama. Renungkanlah …..Adakah kita dalam golongan itu???

Alangkah sejuknya hati andai para remaja kita terutama lelaki menjadikan Thariq bin Ziyad sebagai idola mereka lalu mencontohi peribadi pejuang Islam itu. Cekal, tabah, berani, berwawasan, taat perintah Allah, tahan gugat menempuh cabaran, optimis dan lain-lain lagi sifat-sifat mulia ditiru serta diamalkan dalam hidup seharian. Remaja perempuan pula menjadikan Saidatina Khadijah atau Aisyah sebagai idola. Contohi dan teladani sifat-sifat dan peribadi wanita solehah itu dalam menegakkan syiar Islam bersama Rasulullah s.a.w. Jika ini dilakukan para remaja, nescaya akan wujud insan-insan generasi alaf baru punya peribadi yang selari dengan kehendak agama, bangsa dan negara. Remaja harus bijak mengendalikan program hidup di samping selalu memohon kepada Allah melalui doa atau sembahyang supaya ditunjukkan jalan yang benar dan lurus, jauh dari terpesong menyusur jalan yang dibentang musuh Islam.

Maka, mudah-mudahan dengan wujudnya Kelab PEWARIS-Serdang dan Blog ini dapat menjadi satu wacana atau wadah dalam mencorak remaja kita pada hari ini ke arah mewujudkan remaja yang menitikberatkan kejayaan dunia lebih-lebih lagi akhirat berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah . InsyaAllah